Click here for Myspace Layouts

Isnin, 15 Oktober 2012

LARIAN BELIA KEBANGSAAN 2012



Sambutan Hari Belia Kebangsaan merupakan salah satu daripada acara tahunan yang utama anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.Hari Belia Kebangsaan disambut pada setiap 1 Ogos dengan mengumpulkan para belia di negara ini dengan tujuan yang bermakna.

Bagi memeriahkan lagi Sambutan Hari Belia Kebangsaan pada tahun ini, acara Larian Hari Belia Kebangsaan 2012 akan diadakan pada hari Ahad, 21 Oktober 2012.

Acara larian akan bermula dan berakhir di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.Penyertaan adalah sebanyak BND10 sahaja dan bagi peserta di bawah umur 15 tahun hendaklah mengisi borang pengesahan ibu bapa.
 
Borang hendaklah dikembalikan pada 10 Oktober 2012 beserta yuran penyertaan kepada pihak penganjur sebelum 4.30 petang ke Tingkat 6, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pusat Belia, Bandar Seri Begawan, Kompleks Sukan Tutong, Kompleks Sukan Mumong atau Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Temburong.

Sebanyak enam kategori akan dipertandingkan, iaitu Kategori Lelaki dan Wanita 10 Kilometer Berumur 19 hingga 40 Tahun, Kategori Remaja Lelaki dan Perempuan 5 kilometer Berumur 15 hingga 18 Tahun, Kategori Orang Berkeperluan Khas 2.5 kilometer dan Kategori 'Fun Run' 2.5 Kilometer.

Peserta yang telah mendaftar bagi mengikuti Larian Hari Belia Kebangsaan tersebut adalah dinasihatkan untuk mengambil baju dan bilangan nombor yang mana akan diagihkan pada 19 Oktober 2012 jam 8.00 pagi hingga 8.00 malam secara serentak di seluruh negara iaitu bagi Daerah Brunei dan Muara bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, bagi Daerah Tutong bertempat di Kompleks Sukan Tutong, manakala bagi Daerah Belait bertempat di Kompleks Sukan Mumong dan Daerah Temburong bertempat di Pusat Belia Temburong.
 
Dalam pada itu pihak penganjur juga menawarkan berbagai hadiah menarik termasuk wang tunai kepada pemenang seperti bagi kategori pertama dan kedua iaitu bagi larian sejauh 10 kilometer masing-masing untuk lelaki dan wanita berumur 19 hingga 40 tahun dengan wang tunai sebanyak BND1,200 untuk pemenang tempat pertama; tempat kedua BND900; tempat ketiga, BND700; keempat, BND500 dan tempat kelima sebanyak BND300.

Larian sejauh 5 kilometer bagi masing-masing kategori lelaki dan remaja berumur 15 hingga 18 tahun akan menerima wang tunai BND500 untuk tempat pertama; kedua, BND400; ketiga BND300; keempat, BND200 dan tempat kelima sebanyak BND100.

Bagi Kategori Orang Berkeperluan Khas yang mengandungi empat bahagian juga akan menerima hadiah wang tunai masing-masing iaitu BND150 untuk pemenang tempat pertama; BND125 untuk tempat kedua dan tempat ketiga sebanyak BND100.

Untuk menggalakkan penyertaan, pihak penganjur juga menyediakan sebanyak 30 hadiah 'lucky draw' yang antaranya Mac Book Pro 13", Philip 42" smart led TV Full Hd dan berbagai telefon bimbit.

Antara tujuan Larian Hari Belia ini ialah untuk menggalakkan belia sentiasa mengamalkan cara hidup sihat dengan bersukan.

Untuk maklumat lanjut, bolehlah menghubungi Bahagian Sukan, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan di talian 2381903/4/5 sambungan 1630 atau 1625.